31/01/11

kenalpasti simptom campak (measles)

Bila Aydin demam, tahap kerisauan kami pasti memuncak. Terutama sekali pada saya. Tidur malam pasti tak lena. Kali terakhir Aydin demam teruk bila dia berumur 4 bulan. Demam beserta ulser di dalam mulut. Lepas dari itu, dia hanya mengalami demam ringan. Tetapi pada minggu lepas, Aydin mengalami demam panas. Sangat merisaukan. Disebabkan Aydin tidur bersebelahan dengan saya, bahang panasnya sangat terasa. Pernah satu malam, dia tidak dapat tidur kerana suhu badan yang terlampau panas. Saya sentiasa mengelap badannya dengan tuala basah untuk meredakan kepanasan. Tapi bila setiap kali badannya dilap, Aydin akan menjerit sambil menangis. Tapi saya terpaksa. Memang nampak terseksa. Selain lap, saya akan tampal cooling gel patch pada belakang badannya. Selain dari itu, saya akan berikannya paracetamol dalam dos 6ml (seperti yang disarankan doktor kerajaan). Penting bagi kita sebagai ibubapa mengawal suhu  badan anak. Jika badan anak terlampau panas, ia boleh mengakibatkan sawan.

Dalam 3-4 hari, setiap malam Aydin akan menangis kerana ketidakselesaan yang dialami. Tetapi saya sangat bersyukur kerana tangisan itulah yang meredakan demam panas Aydin. Kerana tangisan itu akan membakar sejumlah tenaga yang mengakibatkan pemprosesan peluh. Bila badan berpeluh, suhu badan akan menurun. Ianya sedikit sebanyak melegakan kami. Selepas 3 hari demam, petang itu saya dapati pada muka Aydin, penuh dengan ruam merah. Sedikit cuak tetapi saya tenangkan hati. Saya andaikan ianya adalah ruam biasa. Tetapi, bila pagi keesokannya, saya lihat ruam merahnya merebak pada keseluruhan badan. Walaupun demam Aydin sudah kebah dan dia kembali lasak seperti sedia kala tetapi kami sangat berhati-hati dengan ruam merah ini. Ada beberapa penyakit berbahaya berhubung-kait dengan ruam merah ini.

Tanpa membuang masa, pagi itu juga, kami terus bawa Aydin ke klinik. Alhamdulillah....doktor telah mengenalpasti ruam merah tersebut adalah petanda campak (measles). Kami sangat bersyukur. Doktor tersebut memberi penerangan yang sangat terperinci kepada kami. Sangat puas hati dengan perkhidmatan yang diberi. Harga juga sangat berpatutan. Harga konsultasinya hanya RM15! Sangat teruja!

Menurut doktor yang memeriksa Aydin (kita namakan beliau sebagai Dr. N), ruam merah campak berkongsi rupa dengan 2 jenis demam yang lain iaitu viral fever dan denggi. Tetapi, simptom ketiga-tiga jenis penyakit ini adalah berlainan. 
  1. Campak (measles) - Peringkat pertama campak adalah fasa yang merbahaya dan harus diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga. Ianya dimulai dengan demam panas yang berlarutan di antara 3 hingga 4 hari. Jika suhu badan anak meninggi, jangan panik. Sediakan tuala basah, cooling gel patch dan paracetamol (dengan dos yang dibenarkan doktor). Anak mungkin akan berasa tidak selesa. Pasti akan kerap menangis. Jangan risau. Menangis adalah normal. Tetapi, beri perhatian kepada anak yang pasif ketika demam. Jangan berasa selesa jika anak mendiamkan diri jika berlaku demam. Pada peringkat ini, jika suhu badan terlalu panas, anak mudah diserang sawan. Pada peringkat kedua, biasanya selepas 4 hari, demam anak akan kebah. Tetapi ruam merah akan muncul, bermula pada belakang telinga. Kemudian akan merebak ke bahagian hadapan badan. Disusuli pada bahagian belakang badan dan kemudian pada bahagian bawah. Ruam merah ini akan mengakibatkan kegatalan. Doktor biasanya akan bekalkan losyen calamine dan ubat gatal. Peringkat kedua ini, anak akan aktif seperti sedia-kala. Dan pada peringkat ketiga, selepas sembuh dari campak, sistem imun anak akan mengalami kemerosotan. Harus diberi perhatian. Dalam masa 2 minggu, anak mudah jatuh sakit. Antaranya jangkitan paru-paru, jangkitan pada telinga dan selesema. Jika berlaku demam pada peringkat ini, cepat-cepat berjumpa doktor. Perkara ini berlaku kerana sistem imun anak dalam proses membina semula antibodi badan yang merosot.
  2. Denggi - Denggi biasanya akan dimulai dengan demam. Selepas 3 hari demam, ruam merah akan muncul. Walaupun kebah dari demam, anak tetap akan berasa tidak sihat, pasif dan lemah. Jika ini berlaku, cepat-cepat berjumpa doktor kerana tanda denggi itu sangat jelas. 
  3. Viral fever - Demam ini berpanjangan. Walaupun ditumbuhi ruam merah tetapi demam tetap berlarutan. Ini juga harus diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan cepat-cepatlah berjumpa doktor. Viral fever dan denggi berpunca dari vektor yang sama iaitu nyamuk. Apa yang membezakannya adalah denggi menyerang saluran darah dan viral fever pula menyerang pada sistem sendi. 
Usah risau jika anak dijangkiti campak (measles) kerana ia adalah penyakit semulajadi yang pasti akan menyerang kepada setiap manusia. Tidak kira kecil atau besar. Pasti akan berlaku sekali seumur hidup. Jangan panik. Jumpa doktor jika terlihat tanda-tanda serius. Apa yang penting bagi kita sebagai ibubapa, bersabar dan bertindak rasional.