Dari pandangan pertama, dia memenuhi selera peribadi untuk dijadikan suri. Penampilan muslimah lengkap. Bertudung labuh dan berbusana litup. Siapa tidak tertarik? Namun, benarlah kata mereka. Pandangan pertama tidak menjamin kebahagiaan di dalam hati. Awal perkenalan, mungkin serba-serbi indah. Namun bila sudah diikat tali pertunangan, dia mula menghambur perangai yang tidak dijangka.
Permulaan ikatan, aku kagum dengan pendiriannya. Berpegang teguh pada agama. Tidak pernah lupa mengingatkan aku tentang wajibnya menunaikan solat 5 waktu sehari semalam. Tetapi kekaguman aku terhadap dia disalahguna. Seakan terbit riak di dada. Seolah dia paling sempurna. Apa saja kelakuan aku dan keluarga, dia seakan tidak suka. Aku bingung.
Pertama kali aku lihat kurangnya hormat dia terhadap orang tuaku. Dia kuajak menikmati suasana kampung di rumah atok dan nenekku. Suatu ketika entah di mana silap, dia membentak dan memberontak. Diajak makan bersama atok, nenek, ibu dan ayah. Namun dia menolak. Wajah masam mencuka dan mengeluh setiap masa. Sungguh aku malu dengan mereka. Seolah hilang adab dia. Di mana budi pekerti, sopan santun dan rasa hormat?
Berulangkali aku resah dengan sikapnya. Berkali dia berulang perangai yang langsung tidak mencerminkan penampilannya. Namun, kesabaranku sentiasa didorong oleh nasihat lembut ibu. Ibu tetap ibu. Lembut hati dan sentiasa memberi peluang. Walau bakal menantunya...entahlah.
Kesabaranku teruji lagi. Dia berbalah dengan adik perempuanku (yang sepatutnya saling berkongsi cerita) hanya kerana perkara yang sangat-sangat remeh. Aku bingung kerana aku adalah mangsa! Aku diamuk, dihina dan dicerca tanpa aku tahu apa cerita! Membangkitkan amarah, aku menyerang adikku sendiri. Adik yang sejak dulu tidak sebulu dengannya menafikan kesalahan. Sudahnya, ibu juga tempatku tuju. Aku mungkin anak emak tetapi walau macam mana pun, ibu tetap ibu aku. Apatah lagi dia belum rasmi menjadi suriku. Jadi, tidak ada sebab untuk dia menafikan hak aku sebagai anak ibu!
Ibu risau memikirkan keadaan dia. Sementelah mendapat tahu dia terlalu bermain perasaan yang tak logik difikir akal pemikiran. Kuajak ibu menjenguk dia ke rumah sewanya. Ibu sememangnya mahu bersua muka dan mewakilkan maaf bagi pihak adikku. Walau ibu uzur dan jalannya terpaksa kupapah setiap masa.
Malang kami berdua (lebih-lebih lagi aku), kami berdua dihalau pergi. Sakit hati! Jika dia hendak menghalau aku, tak apa. Tapi jangan ibu! Hampir hilang sabarku dibuatnya. Tapi ibu sabarkan baranku. Dan aku lemah dengan nasihat ibu. Kebetulan, aku ada simpan kunci pendua rumah sewanya (jangan salah faham, kegunaan kunci pendua ku simpan atas kehendak dia untuk kecemasan). Sebaik buka, dia menjerit bagai hilang akal. Ikutkan hilang akal aku juga, hendak saja aku tekup mukanya.
Ibu dengan penuh diplomasi, memujuk hatinya. Tapi dia kelihatan sangat hilang rasional. Depan ibu, dia menonjol ketidakwarasan diri dengan menumbuk pintu. Istighfar ibu berulangkali. Aku mengetap gigi menahan marah. Urat pipiku tenggelam timbul. Panas hati! Aku sudah tidak tahan. Ku ajak ibu pulang dari melayan perangainya yang gila. Ibu masih punya toleransi. Ibu hulurkan tangannya sebelum mengundurkan diri. Tidak aku jangka, dia sanggup menepis salam ibu. Kurang ajar! Kalau tidak difikirkan ibu ada di situ, tangan ini pasti melayang singgah di pipi. Mengenangkan ikatan kami hanya di alam pertunangan, aku sabarkan hati! Ya Allah, dugaanku di alam pertunangan lain dari yang pernah dialami kenalan-kenalanku. Jika dugaan dia curang dengan lelaki lain, aku sanggup maafkan. Tapi dugaan yang aku terima adalah, dia sangat biadap terhadap ibu! Diakah ciri-ciri suri yang berpegang teguh dengan ajaran agama? Walhal, solatnya tidak pernah tinggal. Penampilannya sangat muslimah. Tidak pernah menunjuk walau sedikit aurat. Tapi kenapa perilakunya tidak seperti apa yang dia pegang (agama).
Ibu dan ayah menasihatiku memberi peluang satu minggu supaya dia dapat sejukkan hati. Tetapi, dia sudah memberi kata muktamad untuk memutuskan perhubungan kami. Jika difikirkan, sayang hendak mensia-siakan cinta kami. Tapi perlukah aku kalah dengan hati sendiri? Perlukah aku pujuk hati supaya terus-menerus memberikan dia peluang? Kami di alam pertunangan. Sukar untuk aku membuat keputusan. Dayuskah aku kerana tidak berpendirian tetap melepaskan dia? Mohon pertolongan!
Kawan-kawan, cerita di atas adalah kisah benar seorang kawan. Bukan tujuan mengaib tetapi hanya meminta bantuan jalan penyelesaian.