Alhamdulillah, Aydin sudah pulih dari 'stomach flu'. 5 hari yang penuh dugaan. 5 hari yang perasaan saya bercampur-baur yang bukan-bukan. Selama 5 hari itu juga, saya cuba untuk bersedia menghadapi segala kemungkinan.
'Stomach flu' atau gastroenteritis, sesetengah kes mungkin melibatkan virus rota. Tapi masalahnya, Aydin tak cirit-birit dan demam. Bila tak ada simptom jelas demam virus rota, saya mula fikir yang bukan-bukan. Saya sangat takut andai dia mengalami 'telescopic intestine' atau usus terbelit. Syukur kerana Aydin masih membuang air besar setiap hari dan masih berupaya membuang angin (kentut). Malah, saya belek najisnya betul-betul sebab kalau najisnya berdarah, memang parah!
Sakit perut bukan sakit yang boleh dipandang enteng. Kami sanggup minta pendapat 3 doktor pada hari yang berlainan hanya semata-mata untuk mendapatkan kepastian! Bukan setakat berjumpa doktor (pediatrik) malah saya belajar dari internet apa itu sakit perut terutama yang lazim terjadi pada kanak-kanak. Hati siapa yang tak keruan dan tenang bila setiap kali Aydin mengalami kejang perut, dia;
- menonggeng kesakitan
- mencangkung sambil menangis
- berguling-guling bila sakitnya pada tahap maksima
- menolak saya atau suami bila mahu memeluknya
- menjerit-jerit
- menggigit jari hingga luka kerana sakit yang tidak tertahan
'Stomach flu' tidak ada ubat khusus dan hanya akan sembuh sendiri. Bila tak ada ubat, kami jadi tertekan. Terpaksa redha dan bersabar setiapkali Aydin diserang kejang perut. Ada ketika kerana tidak tahan melihat dia terseksa menahan kejang, saya menangis (bukan menangis depan Aydin, takut semangatnya luntur). Minta ubat tahan sakit pun, doktor tak mahu bagi sebab Aydin masih di bawah 2 tahun. Takut nanti ada kesan lain pula. Nak tak nak, kami terpaksa menerima. Atas nasihat doktor juga, dia hanya berikan paracetamol untuk meredakan. Alhamdulillah, walau masih sakit tapi tidak sekerap sebelumnya.
PUNCA
- Aydin punya satu tabiat suka memasukkan benda dalam mulut. Kita tak tahu, barang itu mungkin sudah tercemar dengan kekotoran.
- Mungkin juga berpunca dari sikap lalai dan malas saya yang tidak menjadikan amalan membasuh tangan Aydin sebagai rutin setiap masa.
- Boleh jadi berpunca dari keracunan makanan. Makanan yang sudah lama terdedah, makanan yang tidak dimasak dengan betul, makanan yang sudah disimpan lebih dari satu hari dan makanan yang sudah tercemar.
- Mungkin juga berjangkit dari anak-anak di nurseri/tempat jagaan.
Walaupun tak ada ubat khusus, doktor sudah beri amaran supaya berjaga-jaga. Sentiasa pastikan Aydin diberi cukup cecair (air, susu atau air garam) untuk menghindar dari dehidrasi. Jika terjadi maka wajib dihantar ke hospital untuk dimasukkan air. Siapa yang sanggup? Selama dia sakit, saya tak berikan dia makanan pepejal. Saya berikan dia oat atau bubur yang dikisar halus berlaukkan buah-buahan. Nak tak nak, saya terpaksa memaksa dia untuk minum air. Saya berikan dia susu kultur dan yogurt kerana ia sedikit sebanyak meredakan. Jenuh tapi demi kesihatan anak, saya terpaksa buat apa jua cara sekalipun. Psikologi juga penting kerana jika Aydin stress, sakitnya boleh berulang.
Kepada kawan-kawan yang mempunyai anak kecil, berjaga-jagalah dengan kebersihan. Kebanyakan penyakit anak semuanya berpunca dari kebersihan. Bekalkan anak dengan pembersih sanitasi (hand sanitizer) setiap kali hantar dia ke nurseri atau penjaga. Nak tak nak, terpaksa tebalkan muka desak penjaga untuk membasuh tangan anak sekerap yang mungkin. Kalau tak nak basuh dengan air sekalipun, basuh dengan pembersih sanitasi. Wajib rendam atau rebus botol susu anak dengan air mendidih (bagi yang tak ada steriliser). Makanan mesti yang baru dimasak, segar dan dimasak dengan betul.
Saya minta kerjasama baik kawan-kawan, jika ada pengalaman anak sakit atau kemalangan, berkongsilah dengan semua orang melalui blog kerana ianya amat penting untuk dijadikan rujukan. Selama Aydin menderita kerana 'stomach flu', saya hanya terjumpa satu saja pengalaman blogger tempatan berkaitan sakit yang sama. Selebihnya, saya peroleh dari sumber luar negara.
Bak kata pepatah Inggeris, sharing is caring!